Manusia bebas untuk berfikir dengan anugerah akal kurniaan Allah
S.W.T. Menggunakan nikmat akal dengan cara yang betul dapat membawa
kepada kebaikan. Kita juga dikurniakan nafsu sebagai satu keperluan
tetapi nafsu banyak mengarah kepada kejahatan. Akal dan nafsu sentiasa
berlawanan antara satu sama lain. Akal semata-mata tidak menjamin
sebarang kebaikan, jika tidak dipandu oleh Syariat Allah S.W.T.
Umat Islam hari ini bukan sahaja menghadapi serangan berbentuk
fizikal, tetapi yang amat membimbangkan ialah pertembungan yang bersifat
perdebatan. Sehingga apa yang telah dinyatakan oleh nabi S.A.W bahawa
perselisihan dikalangan umatku adalah satu rahmat kadang-kadang berlaku
sebaliknya iaitu menjadi perpecahan. Ini bukan sahaja akan membinasakan
kefahaman umat Islam terhadap agamanya sendiri, malah pemikiran dan
ritual ibadah mereka juga turut menjadi sasaran.
PENGERTIAN IKHTILAF
Ikhtilaf dalam bahasa arab membawa maksud : tidak sependapat atas
sesuatu perkara. Dalam ertikata lain setiap orang mengambil yang berbeza
samada dalam perkataan maupun pendapat.
Ikhtilaf juga memberi erti
tidak sama. Oleh itu setiap yang tidak sama dikatakan ikhtilaf.
Sementara Khilaf ialah pertentangan atau berlawanan. Maka ia memberi
makna sama dengan ikhtilaf walaupun maknanya lebih umum.
Al-Imam al-Syatibi berpendapat bahawa :
Al-Klilaf
ialah suatu yang lahir dari hawa nafsu yang menyesatkan dan bukan hasil
dari mencari objektif syarak dengan mengikut dalil-dalinya. Ikhtilaf
pula ialah:
1. Pendapat-pendapat yang lahir dari ulama mujtahahidin dalam masaalah-masaalah ijtihadiyyah yang tiada nas qat'ei padanya.
2.
Pendapat-pendapat terhadap masaalah-masaalah yang berlaku diantara dua
pihak yang jelas bertentangan menurut pandangan mujtahidin disebabkan
tersembunyi sebahagian dalil-dalil dan tidak ditemuinya.
PANDANGAN FUQAHA MENGENAI KHILAF
Para Fuqaha
telah menggunakan al-Ikhtilaf dan al-Khilaf dengan makna yang sama
iaitu: " Sesuatu yang tidak disepakati oleh para fuqaha dalam
masalah-masalah ijtihadiyah ( masalah yang tida nas ) tanpa memandang
betul atau salah atau ganjil pendapat yang dikemukakan".
Jika
ijtihad itu betul mendapat dua pahala dan jika salah mendapat satu
pahala. Menjadi satu adab yang dilakukan oleh mereka bahawa mereka tidak
menyalahkan diantara satu sama lain bahkan menghormati antara sesama
mereka.
Dr. Yusof Al-Qardawi telah memberikan pandangan bahawa
memberikan kefahaman yang diharapkan mestilah diserahkan kepada ulama'
yang jauh dari pemerintah pada sudut pengaruh kuasa dan penghormatan.
Mereka lebih dipercayai melalui ketulenan ilmu dan kekuatan mereka
terhadap pegangan agama.
Oleh yang demikian Syariat Islam telah
meletakkan prinsip-prinsip bermuzakarah, berdailog dan berbincang dalam
sesuatu perkara. Perbincangan mestilah beasaskan akal yang sihat,
disiplin ilmu, sumber hukum syariat dan bukan secara agakan, sentimen,
kepentingan sesuatu dan emosi.
SEBAB-SEBAB IKHTILAF DALAM ISLAM
Islam memerintahkan kepada kita supaya bersatu dan bermuafakat serta
melarang berpecah belah dan berselisih pendapat. Dalam Al-Quran Allah
S.W.T telah menyatakan:
"Berpegang teguhlah kamu kepada tali Allah
dan janganlah kamu bercerai berai dan hendaklah kamu menjadi hamba Allah
yang bersaudara"
Islam tidak melarang ikhtilaf tetapi perlu dijaga
adab dan etikanya. Jangan sampai membawa kepada perpecahan dikalangan
umat Islam. Namun ikhtilaf pasti berlaku tetapi jika tidak dijaga
disiplin dan adabnya ia akan menimbulkan implikasi yang buruk dan
mengaibkan dalam masyarakat Islam. Di antara perkara yang berlaku ialah:
1. Sibuk menimbulkan masalah-masalah kecil yang bersifat ijtihadiyah dan melupakan masalah-masalah besar.
2. Berdebat dengan melakukan pendekatan yang emosional dan tidak mengakui kebenaran yang dikemukakan oleh orang lain.
3.
Cenderung untuk memilih pendekatan yang keras bukan pada
tempatnya, memberatkan diri dan mempersulit kaedah-kaedah dalam
menentukan hukum.
4. Sikap taksub terhadap pegangan tertentu
sehingga mereka banyak disibukkan dengan perdebatan sesama sendiri dan
menganggap pendapatnya sahaja yang betul.
5. Jahil dalam
memahami Sumber-sumber Hukum syara' yang telah disepakati oleh para
Fuqaha' iaitu Al-Quran, Hadis, Ijma' dan Qias serta sumber-sumber hukum
syara' yang tidak disepakati oleh Fuqaha.
6. Banyak terjebak
dengan masaalah yang berbentuk terminologi, masalah-masalah istilah
sehingga membahayakan pemikiran umat Islam.
PEMBAHAGIAN KHILAF
Khilaf terbahagi kepada 2 bahagian:
1. Khilaf yang dicela
Khilaf ini berpunca dari 4 sebab:
Kejahilan,
Kezaliman dan penderhakaan, Mengikut hawa nafsu, Menyalahi manhaj
nabawi dalam penerimaan hukum syara' dan cara mengamalkannya.
2. Khilaf yang harus dan dapat diterima akal
Khilaf
ini ialah perbezaan yang berlaku dikalangan ulama' mujtahidin dalam
masalah ijtihadiyyah iaitu masalah yang tidak terdapat nas qat'ei namun
khilaf ini dapat diterima dengan syarat-syarat berikut:
1. Hendaklah khilaf itu berlaku dikalangan ulama' fiqh dan orang-orang yang berkelayakan dalam bidang agama.
2.
Hendaklah ijtihad dan khilaf mereka itu dalam masaalah furuiyyah
yang tiada dalil-dalil qat'iy berhubung dengan hukumnya.
3. Hendaklah tujuan masing-masing untuk mencapai kebenaran dan yang betul.
4.
Setiap orang faqih itu telah mencurahkan seluruh tenaganya bagi
mencapai kebenaran khilaf seperti ini juga berlaku dikalangan para
sahabat dan tabi'in, namun demikian tidak ada seorang pun dikalangan
mereka dicela kerana perbezaan yang berlaku itu, ini disebabkan
masing-masing bekerja untuk mencari kebenaran, kalau tersalah ketika
menuntut dan mencari kebenaran itu mereka tidak dipersalahkan bahkan
dimaafkan.
BEBERAPA ETIKA KETIKA BERLAKU KHILAF
Di saat berbeza pendapat baik dalam suatu majlis atau bukan, sebagai
seorang muslim kita berupaya untuk menjaga adab-adab berikut:
1. Ikhlas dan mencari yang hak serta melepaskan diri dari hawa nafsu.
2. Berlapang dada menerima kritikan dan memahami bahawa ia adalah nasihat dari saudara seagama.
3. Menghindari sikap menonjolkan diri, membela diri serta mencari kemasyhuran publisiti murahan.
4. Berbincang dan bermuzakaran dengan cara dan kaedah yang terbaik.
5.
Tidak menuduh orang yang mengamalkan amalan yang kita tidak sependapat
sebagai sesat, bid'ah dan khurafat jika kita tidak mempunyai nas-nas
syara' yang menyatakan kesalahan mereka.
6. Hendaklah
memberikan ruang kepada orang lain mengemukakan pendapat atau hujjah
samaada dari pihaknya atau pihak yang membangkang. Tidak boleh memotong
percakapan orang lain atau menyakitinya.
7. Menghormati
pandangan orang lain sebagaimana peristiwa Saidina Abu Bakar menerima
cadangan tentang pengumpulan Al-Quran dari Saidina Umar.
8. Menghormati dan menghargai segala usaha yang dicurahkan oleh para ulama' mujtahin dalam pelbagai mazhab.
9.
Tidak perlu memaksa orang lain menerima pandangan kita dalam
perkara khilafiah kecuali amalan-amalan yang bercanggah dengan
hukum-hukum yang disepakati oleh para ulama'.
10. Berbaik sangka
kepada orang yang berbeza pendapat dengan kita dan tidak menuduh buruk
niatnya, mencela dan menganggapnya cacat.
11. Berusaha untuk
tidak memperuncing perselisihan, iaitu dengan cara menafsirkan pendapat
yang keluar dari lawan atau yang dinisbahkan kepadanya dengan tafsiran
yang tidak baik.
12. Tidak mudah menyalahkan orang lain, kecuali sesudah penelitian yang mendalam dan difikirkan secara matang.
13.
Sedapat mungkin menghindari permasalahan-permasalahan khilafiyah
dan fitnah. Berpegang teguh dengan etika berdialog dan menghindari
perdebatan, bantah-membantah dan kasar menghadapi lawan.
Disediakan Oleh :
Bahagian Dakwah
Jabatan Agama Islam Selangor
No comments:
Post a Comment