Sunday, 31 July 2011

TAZKIRAH RAMADHAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah kerana dengan limpah kurnianya, kita dipanjangkan usia untuk berada di awal Ramadhan. Ramadhan ialah bulan yang penuh keberkatan. Di awalnya rahmah, di tengah-tengahnya maghfirah dan dihujungnya kebebasan dari api neraka.Bulan Ramadan sangat istimewa. Berkat dan rahmatnya membuat kebanyakan orang terpanggil untuk membuat kebajikan dan menambah ibadat. Orang yang jarang membuat amalan sunat pun akan sanggup sama-sama berjemaah, tadarus dan bertarawih. Paling tidak pun mereka terpanggil ke masjid untuk menikmati juadah berbuka dan ''moreh'' selepas tarawih yang disedekahkan oleh orang ramai.

Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Umatku telah dikurniakan dengan lima perkara yang istimewa yang belum pernah diberikan kepada sesiapa pun sebelum mereka. Bau mulut daripada seorang Islam yang berpuasa adalah terlebih harum di sisi Allah daripada bau haruman kasturi. Ikan-ikan di lautan memohon istighfar (keampunan) ke atas mereka sehinggalah mereka berbuka puasa".
Allah mempersiapkan serta menghiasi jannah yang khas setiap hari dan kemudian berfirman kepadanya: "Masanya telah hampir tiba bilamana hamba-hambaKu yang taat akan meninggalkan segala halangan-halangan yang besar (di dunia) dan akan mendatangimu."

Pada bulan ini syaitan-syaitan yang durjana dirantaikan supaya tidak menggoda mereka ke arah maksiat-maksiat yang biasa mereka lakukan pada bulan-bulan selain Ramadhan. Pada malam terakhir Ramadhan (orang-orang yang berpuasa ini) akan diampunkan." Maka sahabat-sahabat Rasulullah SAW pun bertanya: "Wahai Pesuruh Allah, adakah itu malam lailatul Qadar?" Dijawab oleh Rasulullah SAW: "Tidak, tetapi selayaknya seorang yang beramal itu diberi balasan setelah menyempurnakan tugasnya."

Orang yang berpuasa digalakkan untuk banyak berdoa hinggakan disebut dalam satu hadis bahawa mereka termasuk dalam 3 golongan manusia yang tidak akan ditolak doanya. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud 3 orang yang tidak akan ditolak doanya ialah pemerintah yang adil, orang yang berpuasa hingga dia berbuka dan orang yang teraniaya. Dapatlah kita fahami di sini latihan jiwa hasil daripada puasa akan menyebabkan manusia hampir kepada Allah dan lantaran ia dekat kepada Allah doanya mudah diperkenankan.

Manusia yang banyak berdoa kepada Allah bukan saja akan akur pada ketentuan Allah tetapi berkeyakinan bahawa Allah memakbulkan permintaannya bahkan apa yang telah ditentukan Allah adalah yang terbaik untuk dirinya.Dalam ayat 186 Surah Al-Baqarah yang bermaksud: ''Apabila hambaKu bertanya tentang Aku katakan (wahai Muhammad) bahawa Aku dekat dan Aku menyampaikan doa orang yang meminta kepada Ku.''


No comments:

Post a Comment