Saturday 29 September 2012

~*~ BERADAB apabila berhadapan dengan kesilapan ULAMA ~*~

Di dalam menghadapi persoalan semasa, keadaan menunjukkan telah wujud sebilangan golongan yang terlalu bersikap kurang ajar dengan para ulama. Mereka sanggup menghina ulama dengan pelbagai tohmahan disebabkan pandangan ulama itu tidak sependapat dengan mereka.

Berkata al-Imam al-Hafiz Abu al-Qasim Ibn Syakir:

Ketahuilah saudaraku! Mudah-mudahan Allah memberikan taufik kepada aku dan kamu untuk mendapat redhaNya serta menjadikan kita orang yang sentiasa takut dan takwa kepadaNya dengan sebenar-benar ketakwaan. Sesungguhnya daging para ulama adalah beracun dan kebiasaannya telah dimaklumi bahawa Allah akan membinasakan orang yang menghina ulama. Sesungguhnya sesiapa yang menggunakan lidahnya dengan mencela / menfitnah para ulama maka Allah akan menurunkan bala kepadanya, iaitu sebelum matinya maka hatinya telah mati terlebih dahulu.

Oleh itu, saya ingin menyeru umat Islam agar memahami penjelasan ringkas yang cuba saya terangkan ini agar kita tidak terjebak di dalam lembah kerosakan. InsyaAllah.

Dr. Talaat Afifi di dalam karyanya al-Ulama baina al-Tauqir wa al-Tatawul telah mengariskan beberapa adab ketika berhadapan dengan kesilapan para ulama. Kesimpulannya saya ingin nyatakan seperti mana berikut:

1. Tidak gopoh menyalahkan ulama.

Kita perlulah menyelidik terlebih dahulu kenapakah seseorang ulama itu mengeluarkan pendapatnya sedemikian rupa. Selepas diteliti, mungkin terdapat alasan-alasan tertentu yang menyebabkan ulama itu mengatakan sebegitu. Keadaan ini bagi memelihara sikap buruk sangka terhadap ulama sehingga boleh menimbulkan fitnah. Kadang-kala wujud segelintir golongan yang tidak memahami dengan jelas pendapat serta hujah ulama itu, maka mereka terus menyalahkan ulama tersebut, walaupun hakikatnya mereka yang melakukan kesalahan dalam memahami sesuatu perkara itu.

2. Membataskan kesilapan ulama.

Jika benar ulama telah melakukan kesilapan, maka kita perlulah membataskan kesilapan ulama itu setakat apa yang menjadi kesilapan itu sahaja dan bukan berlebih-lebihan dalam mengkritiknya. Nukilkan dengan ikhlas kesilapan itu dan menjelaskannya dengan dalil-dalil serta pandangan ulama lain. Pandangan ulama lain perlu diketengahkan memandangkan mereka yang lebih memahami tentang kesilapan seseorang ulama itu.

Kita perlu sedar bahawa kesilapan ijtihad ulama beroleh satu pahala dan jika berbetulan pula memperolehi dua pahala. Oleh itu, elakkan sikap yang melampau ketika berhadapan dengan kesilapan itu. Kadang-kala jika seseorang terlalu membenci seseorang ulama itu, maka dia menganggap tiada langsung kebenaran yang boleh diambil oleh ulama tersebut. Kesilapan ulama dalam ijtihadnya tidak sedikit pun mengurangkan penghormatan terhadapnya.

3. Memberi pertimbangan antara positif dan negatif.

Jika berhadapan dengan kesilapan ulama, kita perlu bertanya diri sendiri, manakah yang lebih baik antara menyebarkan kebaikkan positif atau keburukan negatif? Sesungguhnya terlalu banyak kebenaran dan jasa para ulama jika dibandingkan dengan kesilapan yang mereka tidak sengaja lakukan. Bagaimana pula dengan diri kita yang tidak memberi apa-apa sumbangan terhadap Islam? Bagi mereka yang beriman sudah tentu akan mengambil jalan untuk menyebarkan kebaikkan para ulama dari melaga-lagakan khilaf antara ulama sehingga timbul perpecahan di kalangan umat Islam.

4. Bukan untuk menandingi ulama.

Sebilangan golongan mungkin sengaja mencari-cari kesilapan ulama semata-mata untuk menaikkan imej peribadinya di mata masyarakat. Mungkin anggapannya para ulama sebenarnya tidaklah sehebat mana jika dibandingkan dengan dirinya yang boleh menyanggah pendapat para ulama itu.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: Barangsiapa mencari ilmu untuk menandingi para ulama atau mengalahkan orang-orang jahil atau untuk memusatkan perhatian manusia kepadanya maka orang itu akan dimasukkan Allah ke dalam api neraka.(Riwayat al-Tirmizi). Sabda Rasulullah SAW bermaksud: Barangsiapa mencari ilmu untuk berbangga dengannya akan para ulama atau untuk berdebat dengannya akan orang-orang jahil atau untuk memusatkan perhatian manusia kepadanya maka orang itu di dalam api neraka.(Riwayat Ibn Majah).

KESIMPULAN

Sebagai umat Islam yang beriman, kita disarankan untuk menghormati para ulama sebagai pewaris para nabi. Penghormatan ini diberikan berdasarkan sabda Rasulullah SAW bermaksud:

Sesungguhnya ulama itu adalah pewaris para nabi. Para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Mereka hanya mewariskan ilmu. Maka barangsiapa yang mengambil (warisan ilmu) tersebut ia telah mengambil habuan yang paling sempurna.(Riwayat Ahmad, al-Tirmizi, Abu Daud dan Ibn Majah).

No comments:

Post a Comment