Monday 4 July 2011

MENGGAMIT RAMADHAN BERSAMA RINDU

Lambaian Ramadhan hampir menggamit tiba dan Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan Ramadhan bulan yang diberkati, di mana Allah telah memfardhukan ke atasmu puasa. Dibuka padanya pintu‐pintu syurga dan ditutup padanya pintu‐pintu neraka, ditambat padanya syaitan‐syaitan. Padanya satu malam lebih baik daripada seribu bulan, siapa yang dihalang kebaikannya sebenarnya dia telah dihalang kebaikan yang banyak."
Hadith ini diriwayat oleh Ahmad, al‐Nasa`ie daripada Abi Hurairah.


Bulan Ramadhan ini adalah anugerah Allah sebagai lambang kasih sayang kepada hamba-hamba Nya. Allah tidak mensia-siakan keletihan umatnya yang berpuasa hinggakan tidur di waktu siang juga diberikan pahala. Begitu besarnya kasih sayang Allah pada kita. Oleh itu marilah bersama-sama kita menilai diri kita. Semoga tahun ini amalan kita akan semakin bertambah dan sempurna perlaksanaannya. Insya Allah. Janganlah kita termasuk dalam golongan yang menganiayai diri sendiri.

Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Kedatangannya selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya'ban. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan ini, di sini dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya.

1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan.
(Hadis riwayat Imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi)

2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu.
(Riwayat Imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi)

3. Hadith riwayat al‐Nasa`ie daripada Abi Sa`id:
Maksudnya: "Siapa yang berpuasa sehari semata‐mata pada jalan Allah nescaya Allah menjauhkan wajahnya dari neraka jahannam selama 70 tahun."

4. Hadith riwayat Ibn Mandah di dalam `Amali, daripada Ibn Umar dan al‐Dailami, daripada Abdullah bin Abu Aufa bahawa sesungguhnya Nabi s.a.w. bersabda: Maksudnya: "Diam orang yang berpuasa merupakan tasbih, tidurnya merupakan ibadat, doanya mustajab dan amalannya digandakan."

Ramadhan ialah bulan yang penuh keberkatan. Di awalnya rahmah, di tengah-tengahnya maghfirah dan dihujungnya kebebasan dari api neraka. Rasulullah (saw) diriwayatkan sebagai bersabda ketika menjelang Ramadhan bermaksud: “Sesungguhnya telah hadir bulan Ramadhan, bulan berkat, Allah telah mewajibkan ke atas kamu berpuasa, dibukakan pintu-pintu syurga, ditutup rapat pintu neraka dan ditambat para syaitan, Di bulan ini terdapat satu malam yang terbaik dari seribu bulan.Sesiapa yang tidak berusaha mendapatkan kebaikan-kebaikannya sesungguhnya dia rugi.”
(Hadis riwayat Ahmad dan An-nisai)

Di dlm hadis lain yang diriwayat oleh Ahmad, al‐Bukhari dan Muslim daripada Sahl bin Sa’d, sabda Rasulullah: ُMaksudnya: "Sesungguhnya dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama Rayyan, dimana memasuki daripadanya orang‐orang yang berpuasa pada hari kiamat dan yang lain tidak berhak. Dikatakan mana orang yang berpuasa? Lantas mereka bangun dan masuk melaluinya. Apabila selesai ditutup dan tiada yang lain berhak memasukinya."

Wallahu a'lam.

No comments:

Post a Comment