Wednesday 2 November 2011

MENGUBAT PENYAKIT HATI

Antara semua makhluk cikpataan Allah SWT, manusia adalah ciptaannya yang paling sempurna. Selain lengkap dengan tujuh pancaindera, Allah juga mengurniakan akal dan fikiran bagi memudahkan manusia membuat pertimbangan.

Walaubagaimanapun, akal dan fikiran dikendalikan oleh seketul daging di dalam tubuh manusia yang dikenali sebagai hati. Hati diibaratkan sebagai raja dalam sebuah negeri. Hati jugalah yang memerintah seluruh anggota badan supaya bertindak sesudah mendapat arahan serta bertindak mengikut arahan.

Hati menurut ilmu perubatan adalah darah hitam yang beku, mempunyai bentuk tersendiri yang letaknya di sebelah kiri dada. Bagaimanapun Imam al-Ghazali mengatakan bahawa hati menurut pandangan ilmu tasawuf adalah unsur halus yang bersifat metafizik yang berada dalam bentuk hati yang bersifat jasmani.


Hati ini adalah antara dua jari Ar Rahman, maka Allah Taala boleh membolak balikkan hati itu seperti mana yang Allah Taala kehendaki. Sesungguhnya hati juga berada di antara dua persimpangan godaan, antara bisikan malaikat dan bisikan syaitan, maka jika hati itu terpengaruh dengan bisikan malaikat maka ia adalah satu perkara yang baik tetapi jikalau hati itu terpengaruh dengan syaitan maka akan terhasillah ملا يحمد عقباه iaitu sesuatu yang tidak indah hasil balasannya.

Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Sesungguhnya ALLAH tidak melihat kepada rupa dan hartamu, tetapi ALLAH melihat kepada hati dan amalmu."  (Riwayat Muslim)

Hati itu ada tiga bahagian :

 
1-Hati yang selamat sejahtera : Hati yang selamat sejahtera itu ialah sesiapa yang selamat syahwatnya, berpaling  dari suruhan Allah Taala dan laranganNya, atau selamat dari segala syubhah yang berlawanan dengan setiap apa yang dikhabarkan olehNya dan selamat kehambaannya dari perkara yang menyengutukanNya. Selamat juga dari berhukum dengan selain dari apa yang dibawa oleh Rasulullah
s.a.w. 

2. Hati yang mati : Hati yang berlawanan dengan yang pertama tadi iaitu mereka yang tidak kenal Tuhannya, tidak melakukan suruhanNya, tidak mencintaiNya dan meredhaiNya malah sentiasa mengikut nafsu syahwatnya walaupun ianya merupakan kemurkaan Allah. Pengabdiannya kepada selain dari Allah dari segenap segi, setiap perkara, kalau ia bercinta, bercinta kerana hawa nafsu semata, kalau marah, marah kerana hawa nafsunya, dan banyak lagi contoh yang menunjukkan hati yang mati ini. Kita berlindung dengan Allah agar dijauhkan dari tergolong di kalangan orang-orang yang mati hatinya.

3- Hati yang sakit : Iaitu hati yang hidup tetapi ada cacatnya. Ia mengandungi dua unsur yang berlawanan, pada satu ketika ia baik dan pada ketika yang lain pula ia buruk. Adakalanya di satu sudut hati itu di dalam keadaan cintakan Allah Taala, beriman denganNya, ikhlas kepadaNya dan sentiasa bertawakal kepadaNya dalam setiap perkara. Dari sudut yang lain pula hati itu di dalam keadaan suka mengikut hawa nafsu, serta sering cenderung kepadanya.


Penawar penyakit hati ada empat perkara :

1- Dengan Al Quranul Karim

2- Mengubati penyakit hati dengan tiga perkara :
  • Menjaga hati dengan kekuatannya iaitu dengan keimanan, amal soleh dan amal yang membawa kepada ketaatan.
  • Benci atau menjauhi dari kemudaratan iaitu dengan menjauhi dari setiap maksiat dan perkara yang berlawanan syariat.
  • Menyucikan diri dari perkara yang buruk iaitu dengan taubat dan istigfar.
3- Mengubati penyakit hati yang dikuasai oleh nafsu keatasnya. Ia ada dua penawar; iaitu muhasabah dan mukhalafah.
  • Muhasabah diri dari sudut ketaatan iaitu meninggalkan segala hak-hak Allah dan tidak melakukan apa yang dituntut olehNya. Antara hak Allah itu ialah seperti ikhlas, nasihat, mutaba’ah dan sebagainya.
  • Muhasabah diri pada setiap amalan yang jika ditinggalkan lebih baik dari melakukannya.
  • Muhasabah diri pada setiap amalan yang harus dan biasa apabila dilakukan. Adakah ia mahukan Allah dan  hari akhirat maka ia mendapat ganjaran atau ia mahukan dunia maka jadilah ia seorang yang rugi.
4-  Mengubati penyakit hati dari syaitan :
Syaitan merupakan musuh bagi insan dan untuk berlepas diri darinya, sebagaimana yang disyariatkan oleh Allah melalui isti’azah (الاستعاذة). Nabi s.a.w. pula telah menggabungkan isti’azah ini, iaitu berlindung dari keburukan nafsu dan keburukan syaitan.


Seorang ulama, Ibrahim Al-Khawas r.a juga ada memberikan nasihat berkenaan kaedah untuk ubat hati: Nasihatnya berbunyi:
" Sesungguhnya ubat hati itu ada lima perkara, maka ubatilah hati kamu dengan lima perkara tersebut.
Pertamanya, bacalah al-Quran dengan menghayati isi kandunganya.
Kedua
, mengosongkan perut dari terlalu kenyang atau berpuasa.
Ketiga,
bangun (beribadat) di waktu malam.
Keempat,
menghampirkan diri kepada Allah (beribadat) di sepertiga malam dan yang Kelimanya, sentiasa bersama-sama di dalam majlis orang-orang yang soleh."


No comments:

Post a Comment